Perodua Myvi baru 1.5 Extreme Majestic Yellow
KHABAR angin yang mengatakan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bakal mengeluarkan model Myvi enjin bersesaran lebih besar akhirnya terjawab dengan pelancaran dua model Myvi 1.5 liter minggu lalu.
Kehadiran dua model terbaru iaitu Myvi 1.5 SE dan Myvi 1.5 Extreme, melengkapkan lagi produk keluaran Perodua bagi mereka yang mahu memiliki enjin lebih bertenaga.
Sebelum ini, model Myvi diperkenalkan sejak enam tahun lalu sudah mencatat jualan 487,400 unit antara Mei 2005 hingga Mei 2011.
Ketika sesi pandu uji yang dibuat dua hari sebelum pelancaran minggu lalu, penulis terpikat dengan penampilannya kerana terdapat perubahan pada kit badan.
Kit badan yang dipadankan pada kenderaan ini terutama model Myvi 1.5 Extreme tampak garang dan agresif.
Bampar hadapan dipadankan lampu kabus kelihatan lebih rendah dengan kombinasi warna lebih gelap pada bahagian bawahnya tampak unik dan sporty sekali gus memberi kestabilan ketika meluncur di jalan raya.
Spoiler belakang tinggi dan lebar turut memberi keistimewaan pada jentera ini khasnya bagi meningkatkan kestabilan kereta ketika dipandu laju.
Boleh dikatakan, bakal pemiliknya tidak perlu mengeluarkan duit yang banyak semata-mata untuk memasang aksesori tambahan untuk membuat kenderaan itu lebih bergaya dan menarik.
Ketika menerjah bahagian dalamnya, kombinasi warna hitam yang memenuhi ruang kabin nampak sporty dan bergaya.
Kerusinya juga nampak eksklusif apabila dibaluti kulit sekali gus mudah dicuci jika tertumpah makanan atau minuman.
Ruang meletak barang juga besar dengan kapasiti 60:40 sekiranya kerusi bahagian belakang dijatuhkan.
Paling menarik, sistem audionya yang dilengkapi panel skrin sesentuh dengan teknologi terkini memberi impak pada kenderaan ini kerana dilengkapi sistem navigasi.
Selain itu, ia boleh memainkan cakera padat digital (DVD), sambungan melalui Bluetooth dan USB.
Walaupun diberi peluang memandu kira-kira 10 kilometer pada sesi pandu uji itu, penulis dapat merasakan kuasa enjin yang dibekalkan cukup bertenaga.
Kenderaan ini meluncur laju apabila menekan sedikit pedal minyak dan tidak memberi masalah untuk memotong kenderaan lain atau mendaki bukit.
Ia dipadankan enjin 1.5 liter DOHC dengan 16 injap DVVT dan difahamkan hampir sama model kereta pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Enjin berkenaan mampu menghamburkan kuasa maksimum 76 kW pada 6,000 rpm, manakala 136 Nm pada 4,400 rpm bagi kuasa kilasnya.
Perodua mendakwa kenderaan yang dipadankan enjin 1.5 liter itu mampu memecut pada tahap pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dengan hanya mengambil 9.98 saat berbanding 12.49 saat bagi Myvi 1.3 liter SE sebelum ini.
Suspensinya terasa sedikit keras berbanding model sebelum ini dan ia ditala sedemikian bagi memberi kestabilan ketika di selekoh atau meluncur laju di lebuh raya.
Model ini masih mengutamakan keselamatan apabila didatangkan dengan Sistem Brek Antikelincir (ABS) dan Agihan Brek Elektrik (EBD) serta dilengkapi dua beg udara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pemilihan warna kuning bagi model Myvi 1.5 itu membuatkan ia nampak kelainan berbanding produk Perodua yang lain.
“Banyak pengubahsuaian yang dilakukan pada model ini serta ia sangat berbaloi untuk dimiliki.
“Kami menjangka model terbaru ini bakal menyumbang 45 peratus bagi purata jualan 8,000 unit Myvi dan mensasarkan jualan 190,000 unit pada tahun ini,” katanya pada majlis pandu uji media di Cyberjaya, minggu lalu.
Tiga warna ditawarkan bagi Myvi 1.5 liter Ektreme iaitu kuning, putih dan hitam, manakala lima warna buat Myvi 1.5 liter SE.
Kedua-dua model berkenaan didatangkan dengan transmisi manual dan automatik serta dijual antara RM50,900 hingga RM61,700 mengikut spesifikasi kenderaan.
SPESIFIKASI:
MYVI EXTREME:
ENJIN:
KUASA MAKSIMUM:
TORK MAKSIMUM:
CIRI-CIRI KESELAMATAN:
HARGA:
TAYAR YANG DICADANGKAN:
1 ulasan:
Tayar spare sama tak dgn tayar pd bdn kereta
Catat Ulasan